Hidup itu, inshaaAllah. Mati itu
pasti. “kullu nafsin zaaiqatul maut.” Apa lagi yang nak kita ragui? Itu janji
Allah di dalam Al-Quran.
AJAL AKAN TIBA TIDAK CEPAT SESAAT. TIDAK LEWAT SESAAT.
Tiada yang kekal di dunia ini
melainkan Allah. Malah malaikat maut pun akan mati. Apa lagi yang nak kita
ragui?
Bila kita mati? Tarikh? Hari?
Masa? Tempat? Semua itu rahsia Allah. Nabi Muhammad kekasih Allah pun tak
pernah tahu bila Baginda akan wafat. Apatah lagi kita? Allahu Akbar.
Apa yang kita perlu buat?
Bersedia cuma. Mungkin sekejap lagi, mungkin esok, mungkin lusa, mungkin minggu
depan kita akan mati. Ada sesiapa tahu? Hanya Allah sahaja yang tahu. Malaikat
maut menjenguk kita 70 kali sehari. Ada sesiapa tahu? Kita takkan tahu.
Sebuah hadis nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah b Abbas r.a., bahawa Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari." Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang bergelak ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
1 hari=24 jam=1440 minit
1440 minit/70 kali malaikat menjenguk kita
=20.571 minit
INI BERMAKNA MALAIKAT MAUT MENZIARAHI KITA SETIAP 21 MINIT. WALLAHU A'LAM.
Berat rasa hati nak kongsi cerita
ni. Tapi, ianya membuatkan aku tersentap sekejap. Allah Maha Berkuasa. Aku
tidak pernah ragu-ragu. 22 April 2013. Sangat terkejut
bila dapat khabar abang ipar aku meninggal dunia. Sebab apa? Sebab Allah telah
tunaikan janji-Nya. Arwah jatuh di depan pintu pagar semasa nak pergi ke surau
Solat Asar. Hidung berdarah. Meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.
Lihat. Adakah arwah tahu yang dia
tak sempat untuk solat Asar pada 22 April 2013? Ada sesiapa tahu? Hanya Allah
yang tahu. Apabila Allah berkata KUN FAYAKUN. Apa lagi yang nak kita ragui?
Sedih yang tak terhingga. Arwah
dan kakak aku sempat balik kampung pada 24 Mac 2013 sempena majlis pertunangan
aku. Ada sesiapa tahu itulah kali terakhir arwah balik ke kampung? Apa yang aku
perasan, arwah tak banyak bercakap. Seriously. Tak banyak bercakap macam
kebiasaan. Masa kami bakar ikan keli, dia ada cakap dengan abang aku, ‘ni last
bakar-bakar ikan ni, ni last.’ Ada sesiapa tahu apa maksudnya pada masa itu?
Betul. Apabila seseorang itu
telah pergi, barulah kita akan flashback semua kelakuan arwah di akhir-akhir
hayatnya. Semua yang dia buat, kita rasakan pelik. Kita seboleh-bolehnya
mengaitkan perkara itu sebagai tanda-tanda akhir arwah. Cubalah kalau dia masih
hidup, semua itu kita rasakan perkara biasa. Bukan begitu? Allahu Akbar.
Baru-baru ni, aku selalu mimpi
gigi tercabut. Aku cerita tentang mimpi tu pada mak. Mak cakap, dulu arwah ayah
aku pernah bagitau kalau mimpi gigi tercabut, saudara terdekat akan mati.
Apakah itu? Suatu tafsiran mimpi atau kepercayaan yang karut atau apa?
Sesungguhnya aku amat yakin dan percaya, Allah lah yang merancang dan
menentukan segala-galanya. Jika sekiranya aku tidak mimpi gigi tercabut pun,
arwah tetap akan pergi. Selamanya. Dan aku yakin dan percaya aku juga akan
megikutinya suatu hari nanti.
Ingat. Aku selalu mengingatkan
diri aku, bahawa aku tidak akan hidup lama lagi. Suatu hari aku akan berjumpa
dengan Pencipta aku. Ada sesiapa tahu bila aku akan mati? Apa yang aku harapkan
dan aku selalu berdoa, matikan aku dalam keadaan beriman dan ketika aku sedang
solat. Itulah harapan terakhir aku. Khusnul Khotimah. Aku tak mahu mati dalam
keadaan penuh dengan dosa. Aku tak mahu mati dalam keadaan aku menyusahkan ahli
keluargaku. Allahu Akbar.
Dan. Orang di sekeliling kita
juga akan mati. Mak, abang, kakak, adik. Ada sesiapa tahu bila mereka akan
mati? Berbuat baiklah dengan mereka umpama mereka akan mati pada keesokan hari.
Bersamalah dengan mereka sementara mereka masih hidup. Sebelum mereka atau kita
yang menutup mata untuk selamanya. Allahu Akbar.
Ya Allah, Kau tempatkanlah arwah
di kalangan hamba-hambaMu yang beriman dan soleh. Jauhkanlah beliau daripada
azab siksa kubur. Kau rahmatilah beliau dan lindungilah dia. Kau peliharalah
beliau dan masukkanlah beliau ke dalam syurgaMu. Amin…
Al-Fatihah.